Monday, October 08, 2012

Sedihnya Sedih..

السلام عليكم ورحمة الله

Sedih itu perkara normal, maka orang yang normal akan merasa sedih dan berdukacita. Orang yang tak pernah sedih sepanjang hidupnya, dikhuatiri merupakan golongan yang bahagia, lalu ditempatkan di Hospital Bahagia. Tapi sedih itu ada batas, dan demikian juga baginda Rasulullah, pun pernah merasa erti kesedihan. Ketika baginda sering menjadi mangsa kekejaman kaum kafir Quraisy, Abu Talib merupakan pelindung baginda. Biarpun berlainan agama, Abu Talib sanggup membela Rasulullah, hingga menimbulkan rasa jengkel di hati pemuka-pemuka kafir Quraisy..




Namun, takdir Allah, Abu Talib pergi jua, dalam keadaan dirinya masih kufur. Hanya doa dalam kesedihan yang baginda titipkan agar meringankan siksaan Abu Talib. Begitu peritnya kehilangan ahli keluarga yang selama ini melindunginya. Semua wanita mendambakan peribadi Siti Khadijah. Seorang wanita yang solehah, sentiasa berada disamping suaminya dan memberi sokongan ketika baginda senantiasa dihina mereka yang memusuhi baginda. Susah senang, tanggungjawabnya sebagai isteri tidak pernah terabai. Namun, Siti Khadijah menyusuli Abu Talib. Kehilangan dua orang yang dicintai nabi sememangnya membuatkan baginda begitu sedih sekali. Demikianlah digelar tahun berdukacita. Dalam keadaan sedemikian rupa, gembiralah para musuh nabi, kerana memudahkan urusan mereka mengancam Rasulullah. Demikianlah ujian yang berat buat baginda, sehingga sering disakiti dengan lebih hebat berbanding sebelumnya. Saat itu baginda bergerak ke Taif, bersama Zaid bin Harithah, dalam usaha mengembangkan dakwahnya. Baginda berharap penduduk Taif menerima mereka dengan baik. Namun, harapan tinggal harapan, apa yang diharap tidak menjadi kenyataan. Bukan setakat tidak diterima, malah dihina dan dicaci oleh pemuka-pemuka besar Taif. Kanak-kanak pula diupah membuang batu ke arah baginda. “Muhammad itu pesuruh Allah. Jangan kamu sakiti dia!” Teriak Zaid sambil melindungi nabi. Akibat dilempar batu, kedua-duanya mengalami kecederaan hingga menumpahkan darah baginda. Demikian kesedihan baginda, memang perit, memang terasa, dan baginda pun manusia biasa, pasti merasa erti berduka. Cuba kita lihat pada kesedihan kita, adakah kesedihan kita kerana Allah? Hanya sekadar ditinggal kekasih berjuta kali, maka kamu pun mengeluh betapa beratnya ujian diterima? Ataupun, ketika ini kamu bersedih kerana banyak orang berkata buruk terhadap kamu, sedangkan kamu tidak punya salah apa-apa pun, lantas kamu pun menceritakan segala-galanya, meraih simpati, lalu bercerita mengenai orang tersebut, hingga terlupa, kamu juga memburuk-burukkan orang akibat mereka memburuk-burukkan kamu. Ataupun ketika ini kamu berduka, bahawa kehilangan orang yang tersayang, untuk selama-lamanya. Namun, cerita berbulan-bulan masih belum expired kesedihannya, kira kamu sedih itu boleh membangkitkan mereka dari alam baqa? Boleh, jika kiamat sudah menjelma. Kenapa aku cerita tentang baginda Rasulullah? Tahukah selepas peristiwa di Taif, berlaku satu peristiwa yang paling besar sekali? Yakni Isra’ dan Mi’raj. Apa kaitannya? Allah telah membawa baginda nabi mengembara hingga ke Sidratul Muntaha untuk diberi hadiah yang paling baik dari yang terbaik, yakni perintah solat kepada Rasulullah serta umatnya. Demikianlah hadiah dalam sebuah perjalanan jauh, yang hanya disettlekan dalam satu malam. Hadiah meredakan kesedihan baginda, yakni solat. Demikianlah petua menghilangkan sedih, iaitu solat. Percayakah kamu? Tak percaya? Cubalah, tapi bukan solat yang lalai, tapi solat sebenar-benar solat. La Tahzan, Innallaha Ma’ana : Janganlah kamu bersedih, Allah bersama kita. Saat mana Allah merasa dekat dengan kita? Saat kita bersolat, demikian solat itu juga perintah secara terus, menunjukkan betapa dekatnya Allah dalam menyampaikan perintah itu. Kesimpulannya, solatlah petua menghilangkan sedih paling mujarab, yakni berserah kepada Allah. Tapi kalau masih anda tak faham atau kurang yakin, maka, sedih yang melampau itu bahaya, kerana menyebabkan kamu hilang senyuman. Senyuman itu penting, kalau hilang terus, jadi kurang siuman.
Inilah Kasihku:
Share: